
Hijrahkan dirimu ke arah kebaikan!!!
Kedatangan Awal Muharram pada
tahun ini sekali lagi mengingatkan kita tentang peristiwa besar yang berlaku
kepada Rasulullah saw, sejarah Islam bahkan sejarah kemanusiaan seluruhnya.
Peristiwa tersebut adalah perpindahan atau Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah
saw dan para Sahabat dari golongan Muhajirin dari kampung halaman asal mereka
di Mekah, ke bandar 450 km di utara iaitu Madinah. Besar dan pentingnya
peristiwa ini ditunjukkan dengan penurunan kira-kira 18 ayat di dalam Al-Quran
mengenainya, disebut dalam Al-Hadis, dipilih oleh Khalifah Umar Al-Khattab ra.
sebagai tahun permulaan kalendar Islam dari zamannya sehingga ke hari ini.
Sejak diutuskan menjadi Rasul di zaman Mekah
sebelum Hijrah lagi, Allah swt telah mengisyaratkan bahawa risalah yang Nabi
saw bawa adalah tidak terhad kepada kaum di Mekah sahaja seperti mana risalah
para Rasul terdahulu untuk kaum mereka sahaja, bahkan Allah berfirman
bermaksud, “Dan
tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian
alam”. Dalam ayat yang lain “…
kepada seluruh manusia sebagai pemberi berita gembira dan ancaman” (Al-Quran).
Oleh itu dakwah Islam yang dibawa oleh
Baginda saw, para Sahabat ra dan kita sendiri pada hari ini adalah untuk kita
hayati di dalam kehidupan seharian kita dan untuk kita sampaikan kepada manusia
yang lain di dalam negara kita Malaysia dan kepada seluruh penduduk di dunia
ini. Apabila tekanan sampai ke kemuncaknya, setelah kematian Abu Talib dan
Khadijah ra, 3 tahun sebelum Hijrah dan dakwah Islam menjadi beku di Mekah,
agenda rahmat seluruh alam tidak mungkin dapat dicapai melainkan Rasulullah saw
mesti mencari tapak di tempat lain sebagai talian hayat untuk memastikan Islam
terus berkembang. Cubaan Baginda saw memilih Taif ternyata tidak berhasil,
kerana masyarakatnya ternyata menolak mentah-mentah apa yang ingin disampaikan
sehingga Nabi saw berdarah, bermunajat kepada Allah, mengadu lemahnya upaya
hamba sambil mengharap pertolongan Yang Maha Berkuasa. Surah Hud turun
menenangkan jiwanya, menceritakan kisah dan nasib Rasul-rasul terdahulu yang
tidak jauh berbeza dan diakhiri dengan arahan agar terus istiqamah menjayakan
agenda yang telah digariskan.
Pada Musim Haji berikutnya, Nabi saw
mengemukakan dakwahnya kepada kabilah-kabilah yang datang dari berbagai negeri
yang berakhir dengan 6 orang dari Madinah memeluk Islam, kembali ke negeri
mereka dan berdakwah. Dua tahun selepas itu, Perjanjian Aqabah II dimeterai dan
memberi laluan kaum muslimin berhijrah dari Mekah ke Madinah. Hijrah dari
keadaan lemah kepada kekuatan, dari kehinaan kepada keagungan, dari fasa dakwah
kepada fasa daulah, dari fasa membina hati dan jiwa kepada fasa membina sistem
dan negara. 15 tahun selepas itu, setelah Islam menundukkan Empayar Rum dan
Parsi, di zaman Khalifah Umar Al-Khattab, bandar Hijrah, Madinah menjadi
ibukota kepada Khilafah, kerajaan di dunia yang terkuat dan pusat Tamaddun
Islam yang berterusan lebih 1300 tahun.
Dari sinopsis ringkas di atas,
jelas kepada kita bahawa agenda yang ditunjukkan oleh perjuangan Rasulullah saw
yang diilhamkan oleh Allah swt merupakan satu agenda besar meliputi dari isi
hati dan jiwa manusia kepada mentadbir dan membimbing muka bumi ini dengan
Syariat Islam. Inilah juga agenda setiap Muslim termasuk kita. Dalam menjayakan
agenda ini, Islam menuntut kita melakukan Hijrah atau perpindahan dari sekadar
mempunyai agenda bumi tersendiri yang tidak jauh berbeza dengan manusia yang
lain, kepada memiliki agenda rabbani ilahi yang datang dari langit, mengajar
kepada perubahan dan peningkatan diri, keluarga dan masyarakat, berhijrah dari
sekadar memahami Islam hanya terhad kepada ibadat-ibadat khusus seperti solat,
puasa, zakat dan haji, kepada memahami dan menghayati Islam sebagai yang
sedemikian seterusnya meliputi hal ehwal kenegaraan dan kesejahteraan penduduk
dunia sejagat.
Di zaman kita ini di mana musuh-musuh Allah
swt dari kalangan Zionis, kuasa-kuasa Barat dan Timur menguasai hampir setiap
inci bumi, kekuasaan politik, ketenteraan, ekonomi dan media, umat Islam
lebih-lebih lagi berhajat kepada memahami dan menginsafi apakah agenda hidup
mereka yang sebenar dan apakah yang mesti mereka lakukan untuk menjayakannya.
Oleh itu sempena sambutan Awal Muharram atau Maal Hijrah ini marilah kita sama-sama menghayati peristiwa yang besar ini, melakukan hijrah dan transformasi diri, keluarga dan masyarakat, berusaha menjadikan agenda Islam itu sendiri sebagai agenda hidup bagi diri dan masyarakat kita ini.
Umat yang sedang bangkit sangat berhajat kepada akhlak, lebih berhajat dari sebelumnya, iaitu akhlak yang mulia lagi kuat dan mantap, serta jiwa yang besar lagi tinggi dan bersemangat. Ini adalah kerana ia akan berdepan dengan tuntutan-tuntutan zaman baru yang tidak mampu dicapai melainkan dengan akhlak yang kuat lagi jujur, dari iman yang mendalam, keteguhan yang besar, pengorbanan yang banyak dan tinggi keupayaan menanggung kepayahan. Hanya Islam sahaja satu-satunya yang boleh menjadikan jiwa yang sempurna ini.

Ketahuilah bahawa Islam kita adalah “akidah dan ibadah, akhlak dan material, toleransi dan kekuatan, pengetahuan dan undang-undang …”, … “agama dan negara, kerajaan dan umat, Kitab dan pedang, khilafah dari Allah untuk orang-orang Islam di kalangan sekalian umat-umat di dunia ini” (Hasan Al-Banna).
Islam juga menjadikan kebaikan dan kesucian jiwa sebagai asas kepada kejayaan. Allah swt berfirman,“Sungguh telah berjaya orang yang membersihkannya (jiwa) dan sungguh telah binasa orang yang mengotorinya” (Asy-Syams : 9 – 10). Islam telah menjadikan usaha merubah hal ehwal umat selari dengan perubahan akhlak dan kebaikan jiwa mereka. Allah swt berfirman bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak merubah apa yang ada pada satu kaum, sehinggalah mereka merubah apa yang ada pada jiwa mereka” (Ar-Ra’ad : 11).
DIPETIK DARIPADA:
No comments:
Post a Comment