Monday, December 19, 2011

SELAMATKAN AKIDAH UMMAT


KANGSAR 17 Dis. – Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Peringkat Negeri Perak telah diadakan bertempat di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar bermula seawal jam 9.00pagi sehingga 1.00 petang. Sekitar 3000 orang mencakupi keseluruhan peringkat umur daripada usia kanak-kanak, remaja, belia sehingga golongan dewasa hadir memberi sokongan dalam perjuangan membanteras usaha memurtadkan umat Islam di Malaysia.
Pengerusi HIMPUN, Dr. Yusri Mohamad dalam ucapannya menyatakan lewat kebelakangan ini timbul kebiadaban penganut agama lain dalam mencabar kemurnian agama Islam. Usaha memurtadkan umat Islam merupakan perkara yang amat dikesali kerana apabila seorang Muslim itu murtad, ia telah menggadaikan bukan sahaja dunia malah akhiratnya juga. Beliau menyeru semua pihak agar tidak mencurigai agenda HIMPUN kerana perhimpunan ini diasaskan atas kesatuan akidah dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi. Beliau juga memberi gambaran suara yang lantang dan jelaslah yang akan mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat. Justeru, amat perlu untuk umat Islam berhimpun mencipta paduan suara atas dasar kesatuan akidah supaya penganut agama lain tidak akan berani mencalar kesucian agama Islam sewenang-wenangnya.
Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik mengingatkan pesanan Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 120 bahawa orang Nasrani dan Yahudi tidak akan redha dengan orang Islam sehingga orang Islam mengikut jejak langkah mereka. Kedudukan Islam telah dicabar dan pertembungan budaya sedang berlaku dengan sengit dalam usaha musuh-musuh Islam merobek keperibadian dan jati diri umat Islam di Malaysia. Malangnya, masih ramai yang gagal melihat situasi ini adalah sebahagian daripada perancangan rapi musuh-musuh Islam dan hanya menganggap apa yang berlaku adalah kisah-kisah terpencil yang bersifat individu. Beliau menggesa umat Islam menjaga sensitiviti keimanan dan jangan sekali-kali bacul membelakangkan sensitiviti keagamaan semata-mata untuk kepentingan politik.
Ucapan bersemangat daripada Timbalan Mufti Negeri Perak, Ustaz Zamri Hashim mengundang tepukan dan takbir gemuruh bergema di dalam dewan.  Beliau membuat pendedahan terdapat 43 permohonan untuk murtad dikemukakan di Mahkamah Syariah di Perak sehingga November tahun ini. Seramai 52 orang pula sedang menjalani proses istitaubah (diperi peluang untuk bertaubat) di Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bagi tempoh yang sama. Fenomena ini seolah-olah memberi gambaran Islam itu adalah agama yang tidak cantik dan ada yang kurang sehingga terdapat di kalangan penganutnya yang sanggup untuk murtad. Beliau membuat penegasan situasi sekarang adalah amat genting. Oleh itu, menjadi kewajipan dan dhoruri untuk semua umat Islam dalam segenap peringkat tanpa mengira apa jua aliran pemikiran atau agenda politik bersatu memerangi isu murtad dan bertegas memberi tawaran harga mati dan tiada kompromi kepada sesiapa sahaja yang berani mencabar kesuciaan agama Islam di negara kita.
Pengerusi Bersama HIMPUN yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Malaysia, Tuan Haji Azmi  Abdul Hamid menegaskan sekali lagi tiada tawar menawar dalam isu akidah. Fix price atau harga mati dan tiada kompromi ; inilah pegangan muktamad yang mesti dipertahankan apabila timbul isu-isu berkenaan dengan akidah. Seterusnya, beliau membacakan Deklarasi HIMPUN dimulakan dengan bacaan Bismillahirrohmanirrohim:
1. Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.
2. Kerajaan yang memerintah baik di peringkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi dalam Islam dan Perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam negara ini dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan mencabar kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
3. Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hendaklah memastikan supaya undang-undang pencegahan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.
4. Menuntut supaya kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
5. Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tiada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan akidah. Kami menggesa Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada akidah tauhid dan penerapan akidah yang berkesan kepada pelajar.
6. Meminta kerajaan supaya mengadakan program penerangan menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.
7. Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha menggugat kesucian Islam.
8. Menyeru semua institusi dalam masyarakat teruatamanya ibu bapa mengambil tanggungjawab yang tegas mendidik anak-anak dan waris terdekat daripada terjebak dalam aktiviti pemesongan akidah.
9. Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media sama ada media cetak, elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.
10. Menyeru seluruh umat Islam hadir dalam perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbedaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama bersatu menyongsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan akidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menjelaskan Islam diasaskan daripada 3 sendi iaitu akidah, syariah dan akhlak. Beliau menyatakan siri penjelajahan atau roadtour HIMPUN akan diteruskan di seluruh Malaysia dengan matlamat memberi penjelasan kepada umat Islam Malaysia tentang kepentingan mempertahankan sendi terpenting Islam iaitu akidah. Beliau telah menubuhkan Unit Selamatkan Akidah untuk membantu umat Islam yang telah terpesong akidahnya. Setakat ini, terdapat 51 orang telah dirujuk kepada unit ini dalam usaha untuk menyelamatkan akidah mereka. Beliau juga memaklumkan pihaknya menerima maklumat berkenaan aktiviti-aktiviti mubaligh yang berjubah dan bersolat Zohor secara berjemaah bersama-sama masyarakat Islam untuk mengasimilasikan diri mereka dalam usaha  memesongkan akidah umat. Sasaran mereka ialah orang miskin, orang yang kurang berpengetahuann, orang yang lemah akidahnya, orang yang berhutang, orang yang mengalami krisis rumah tangga, golongan pertengahan yang boleh berfikir sehingga kepada golongan atasan. Oleh itu, beliau menyeru umat Islam supaya menjaga akidah khususnya golongan ibubapa mesti mementingkan penerapan nilai agama dalam pendidikan anak-anak. Beliau juga berpesan umat Islam tidak meninggalkan ibadah khusus terutamanya solat. Solat mesti diutamakan tanpa mengira apa jua situasi dan tempat kerana ibadat solatlah yang akan melindungi umat Islam daripada kejahatan dan kemungkaran.
Himpunan Sejuta Umat Peringkat Negeri Perak berakhir pada pukul 1.00 petang dengan bacaan zikir dan doa munajat dibimbing oleh Datuk Dr Hassan Ali dan seterusnya laungan bersemangat ikrar HIMPUN.
SUMBER DARIPADA:
MEDIA PEMBINA PERAK

Monday, November 28, 2011

Hijrah membangun umat beragenda



                                         Hijrahkan dirimu ke arah kebaikan!!!

Kedatangan Awal Muharram pada tahun ini sekali lagi mengingatkan kita tentang peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah saw, sejarah Islam bahkan sejarah kemanusiaan seluruhnya. Peristiwa tersebut adalah perpindahan atau Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan para Sahabat dari golongan Muhajirin dari kampung halaman asal mereka di Mekah, ke bandar 450 km di utara iaitu Madinah. Besar dan pentingnya peristiwa ini ditunjukkan dengan penurunan kira-kira 18 ayat di dalam Al-Quran mengenainya, disebut dalam Al-Hadis, dipilih oleh Khalifah Umar Al-Khattab ra. sebagai tahun permulaan kalendar Islam dari zamannya sehingga ke hari ini.
Sejak diutuskan menjadi Rasul di zaman Mekah sebelum Hijrah lagi, Allah swt telah mengisyaratkan bahawa risalah yang Nabi saw bawa adalah tidak terhad kepada kaum di Mekah sahaja seperti mana risalah para Rasul terdahulu untuk kaum mereka sahaja, bahkan Allah berfirman bermaksud, “Dan tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam”. Dalam ayat yang lain “… kepada seluruh manusia sebagai pemberi berita gembira dan ancaman” (Al-Quran).

Oleh itu dakwah Islam yang dibawa oleh Baginda saw, para Sahabat ra dan kita sendiri pada hari ini adalah untuk kita hayati di dalam kehidupan seharian kita dan untuk kita sampaikan kepada manusia yang lain di dalam negara kita Malaysia dan kepada seluruh penduduk di dunia ini. Apabila tekanan sampai ke kemuncaknya, setelah kematian Abu Talib dan Khadijah ra, 3 tahun sebelum Hijrah dan dakwah Islam menjadi beku di Mekah, agenda rahmat seluruh alam tidak mungkin dapat dicapai melainkan Rasulullah saw mesti mencari tapak di tempat lain sebagai talian hayat untuk memastikan Islam terus berkembang. Cubaan Baginda saw memilih Taif ternyata tidak berhasil, kerana masyarakatnya ternyata menolak mentah-mentah apa yang ingin disampaikan sehingga Nabi saw berdarah, bermunajat kepada Allah, mengadu lemahnya upaya hamba sambil mengharap pertolongan Yang Maha Berkuasa. Surah Hud turun menenangkan jiwanya, menceritakan kisah dan nasib Rasul-rasul terdahulu yang tidak jauh berbeza dan diakhiri dengan arahan agar terus istiqamah menjayakan agenda yang telah digariskan.

Pada Musim Haji berikutnya, Nabi saw mengemukakan dakwahnya kepada kabilah-kabilah yang datang dari berbagai negeri yang berakhir dengan 6 orang dari Madinah memeluk Islam, kembali ke negeri mereka dan berdakwah. Dua tahun selepas itu, Perjanjian Aqabah II dimeterai dan memberi laluan kaum muslimin berhijrah dari Mekah ke Madinah. Hijrah dari keadaan lemah kepada kekuatan, dari kehinaan kepada keagungan, dari fasa dakwah kepada fasa daulah, dari fasa membina hati dan jiwa kepada fasa membina sistem dan negara. 15 tahun selepas itu, setelah Islam menundukkan Empayar Rum dan Parsi, di zaman Khalifah Umar Al-Khattab, bandar Hijrah, Madinah menjadi ibukota kepada Khilafah, kerajaan di dunia yang terkuat dan pusat Tamaddun Islam yang berterusan lebih 1300 tahun.

Dari sinopsis ringkas di atas, jelas kepada kita bahawa agenda yang ditunjukkan oleh perjuangan Rasulullah saw yang diilhamkan oleh Allah swt merupakan satu agenda besar meliputi dari isi hati dan jiwa manusia kepada mentadbir dan membimbing muka bumi ini dengan Syariat Islam. Inilah juga agenda setiap Muslim termasuk kita. Dalam menjayakan agenda ini, Islam menuntut kita melakukan Hijrah atau perpindahan dari sekadar mempunyai agenda bumi tersendiri yang tidak jauh berbeza dengan manusia yang lain, kepada memiliki agenda rabbani ilahi yang datang dari langit, mengajar kepada perubahan dan peningkatan diri, keluarga dan masyarakat, berhijrah dari sekadar memahami Islam hanya terhad kepada ibadat-ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji, kepada memahami dan menghayati Islam sebagai yang sedemikian seterusnya meliputi hal ehwal kenegaraan dan kesejahteraan penduduk dunia sejagat.

Di zaman kita ini di mana musuh-musuh Allah swt dari kalangan Zionis, kuasa-kuasa Barat dan Timur menguasai hampir setiap inci bumi, kekuasaan politik, ketenteraan, ekonomi dan media, umat Islam lebih-lebih lagi berhajat kepada memahami dan menginsafi apakah agenda hidup mereka yang sebenar dan apakah yang mesti mereka lakukan untuk menjayakannya.

 Alangkah besar dan jauhnya agenda sebenar seorang muslim itu. Adakah masyarakat kita memahami dan bekerja menjayakan agenda mereka ini yang didatangkan dari langit oleh Tuhan yang mencipta mereka. Atau mereka terus leka dengan hambatan dan godaan di bumi yang tidak kunjung habis merantai hati dan jiwa mereka sedang mereka tidak menyedarinya. Agenda sebesar dan semulia itu tidak mungkin dipikul oleh umat yang lemah, berpecah, diperkuda oleh seteru mereka, bergelumang dengan kefasikan dan diperbodoh oleh orang lain.
Oleh itu sempena sambutan Awal Muharram atau Maal Hijrah ini marilah kita sama-sama menghayati peristiwa yang besar ini, melakukan hijrah dan transformasi diri, keluarga dan masyarakat, berusaha menjadikan agenda Islam itu sendiri sebagai agenda hidup bagi diri dan masyarakat kita ini.
Umat yang sedang bangkit sangat berhajat kepada akhlak, lebih berhajat dari sebelumnya, iaitu akhlak yang mulia lagi kuat dan mantap, serta jiwa yang besar lagi tinggi dan bersemangat. Ini adalah kerana ia akan berdepan dengan tuntutan-tuntutan zaman baru yang tidak mampu dicapai melainkan dengan akhlak yang kuat lagi jujur, dari iman yang mendalam, keteguhan yang besar, pengorbanan yang banyak dan tinggi keupayaan menanggung kepayahan. Hanya Islam sahaja satu-satunya yang boleh menjadikan jiwa yang sempurna ini.


Ketahuilah bahawa Islam kita adalah “akidah dan ibadah, akhlak dan material, toleransi dan kekuatan, pengetahuan dan undang-undang …”, … “agama dan negara, kerajaan dan umat, Kitab dan pedang, khilafah dari Allah untuk orang-orang Islam di kalangan sekalian umat-umat di dunia ini” (Hasan Al-Banna).
Islam juga menjadikan kebaikan dan kesucian jiwa sebagai asas kepada kejayaan. Allah swt berfirman,“Sungguh telah berjaya orang yang membersihkannya (jiwa) dan sungguh telah binasa orang yang mengotorinya” (Asy-Syams : 9 – 10). Islam telah menjadikan usaha merubah hal ehwal umat selari dengan perubahan akhlak dan kebaikan jiwa mereka. Allah swt berfirman bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak merubah apa yang ada pada satu kaum, sehinggalah mereka merubah apa yang ada pada jiwa mereka” (Ar-Ra’ad : 11).

DIPETIK DARIPADA:
Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Ketua Biro Dakwah,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

Wednesday, November 16, 2011

Surat dari Rijal yang Hatinya "MATI" kepada Assyahid Hassan alBanna‏



Assalamualaikum wbth,

Apakah anda pernah mendengar tentang lelaki tanpa hati? Maaf, jika hati yang dimaksudkan adalah salah satu anggota tubuh dari daging yang berwarna merah, yang menarik dan melepaskan darahnya, tentu saja lelaki itu memilikinya. Yang dengannya dia dapat hidup & menjalani kehidupannya. Akan tetapi hat iyang bersemangat, kuat & hidup, sayang sekali dia tidak memilikinya

Dia mengetahui kebaikan meskipun kecil, dia juga mengetahui keburukan meski pun samar-samar.Seringkali dia benar2 merasai & memahami perilaku seseorang dari wajahnya & dapat memberi respon terhadap hal itu. Akan tetapi, dia tidak memiliki hati.
Ketika bertemu dengan teman lamanya yang sudah lama tidak bersua, dia bersalam lalu menggenggam tangannya kuat, bahkan memeluknya. Namun hatinya, tetap beku, sama sekali tidak terpengaruh. Dia memberi nasihat kepada orang lain, " Jadilah kalian begini & jadilah kalian begitu", serta menyebutkan pelbagai dalil & bukti, namun hatinya semakin keras & tidak terpengaruh.

Dia tersenyum kala mendengar berita gembira. Dia juga mengerutkan dahi saat menerima berita duka.Akan tetapi, kegembiraan & kesedihannya hanyalah reaksi semula jadi semata, sedangkan hatinya teta pdiam & tidak bergoncang. Dia menyatakan cinta & benci kepada seseorang. Tetapi ketika melihat hatinya,ia tetap diam tanpa memberi penjelasan.Dia berdiri menunaikan solat & berusaha khusyuk, membaca al-Quran & berusaha menumpukan perhatiannya. Ketika menunaikan solat, dia membaca bacaan solat dengan nadanya sehingga orang-orang pun berkata, " Dia itu khusyuk nampaknya." Akan tetapi ketika meraba hatinya, dia mendapatinya tuli& tidak khusyuk, walaupun memahami apa yang dibaca.Ini adalah gambaran sebenar yang terjadi pada hati lelaki itu.

Saya tidak melebih-lebihkan atau menguranginya. Menurut anda, apakah anda dapat mengatakan bahawa hatinya sama seperti kebiasaan hati orang-orang lain? Saya dianugerahi akal tetapi hati saya hilang.Saya merasakan akal fikiran saya cerdas berfikir, bekerja,hidup & menunjukkan kewujudannya. Akan tetapi, ketika saya ingin menghayati semua itu pada hati saya, sama sekali saya tidak menjumpainya. Saat ini, anda telah mendengar tentang seseorang lelaki yang tidak memiliki hati.Dia adalah seorang yang membuat perjanjian(baiah) dengan anda & anda teah mengambil janji setia darinya. Apakah anda rela jika seorang tentera anda hidup tanpa hati?

Apakah anda dapat membantu menghidupkan hatinya agar bergerak dan merasai apa yang diucapkan oleh lisannya?Inilah penyakit salah seorang tentera anda yang akan membuat anda sedih jika mengetahuinya. Ole hsebab itu, saya tidak akan menyebutkan namanya, hinggalah saya maklumkan anda bahawa dia telah sembuh.

Waalaikumussalam wbth


JAWAPAN ISHAB KEPADA RIJAL TANPA HATI

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

Saya telah membaca suratmu dan sangat terpengaruh dengan kejujuran bahasamu, keindahan keberanianmu,halusnya kesedaranmu dan HIDUPNYA hatimu.Saudaraku, kamu bukan orang yang hatinya mati seperti yang kamu sangka.

Akan tetapi, kamu adalah seorang  pemuda yang perasaannya tajam, jiwanya bersih dan nuraninya lembut. Seandainya tidak bersifat demikian,tentulah kamu engkari perasaanmu. Akan tetapi besarnya semangat & jauhnya tujuan( matlamat hidup)membuatmu menganggap kecil urusanmu yang besar & engkau mengharapkan tambahan untuknya. Tidak ada masalah dalam hal itu & memang itu yang sepatutnya berlaku.

Saya merasakan apa yang kamu rasakan, saya berjalan sebagaimana kamu berjalan & saya akan berusaha untuk memberikan beberapa nasihat. Jika nasihat-nasihat ini bermanfaat bagimu & dengan melaksanakannya kamu lihat dapat menghapuskan dahaga serta mengubati sakitmu, maka alhamdulillah atas taufikNya. Namun jika tidak demikian, maka saya senang untuk bertemu denganmu agar kita saling bekerjasama untuk mengenal pasti penyakitmu & menentukan ubatnya.

Berteman dengan orang-orang yang khusyuk yang selalu merenung, bergaul dengan orang yang selalu berfikir& menyendiri, dekat dengan orang yang bertaqwa & soleh yang dari mereka terpancar hikmah & dari wajah mereka terpancar cahaya, & dari hati mereka bertambah makrifat -dan jumlah mereka adalah sedikit- adalah ubat yang mujarab.

Berusahalah berteman dengan orang-orang seperti mereka, selalu bersama mereka, kembali kepada mereka & kamu sambungkan rohmu dengan roh mereka, jiwamu dengan jiwa mereka serta kamu habiskan kebanyakan waktu kosongmu bersama mereka. Hati-hatilah dengan orang yang mengaku-ngaku. Carilah orangyang keadaannya membuatmu bangkit bersemangat, perbuatannya membawamu berbuat baik & jika kamu melihatnya maka kamu mengingat Allah.

Berteman dengan orang-orang seperti ini adalah salah satu ubat yang mujarab kerana watak manusia sering mencuri, sehinggalah hati terpengaruh dengan hati yang lain dan jiwa pun mengambil contoh dari jiwa yang lain. Oleh kerana itu, berusahalah untuk menemukan jiwa-jiwa yang soleh sebagai teman.

Saudaraku, berfikir, berzikir di waktu-waktu yang suci, menyendiri, bermunajat serta merenung alam yang indah dan menakjubkan, menggali rahsia keindahan & keagungan alam, meneliti dengan hati & berzikir dengan lisantentang tanda keagungan yang menakjubkan serta hikmah yang agung ini, termasuk hal yang memberi kehidupan kepada hati dan menyinari kalbu dengan keimanan & keyakinan.
Allah swt berfirman; “Sesungguhnya dalampenciptaan langit & buni, dan silih bergantinya malam & siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yangberakal.” (Ali-Imran : 190)

Saudaraku, seterusnya berfikir tentang masyarakat, melihat pelbagai penderitaan, kebahagiaan, kesulitan serta keamanan, menjenguk orang sakit, menggembirakan orang yang ditimpa bencana & mengetahui sebab kesengsaraan yang berbentuk pembangkangan, kekafiran, kezaliman, pelanggaran, sikap mementingkan diri, egois,terpedaya oleh hal-hal yang semu, semua ini merupakan cantuman bagi rantaian hati yang menyatukan cerai berainya & menghidupkannya dari kematian.

Maka berusahalah agar kewujudanmu menjadi penghibur bagi  sengsara & tertimpa bencana. Tidak ada perkara yang pengaruhnya lebih kuat terhadap perasaan daripada berbuat baik kepada orang yang sangat memerlukan, membantu orang yang teraniaya atau berkongsi rasadengan orang yang susah atau sedih.

Saudaraku, hati ada di tangan Allah. Dia mengubahnya sesuai dengan kehendakNya. Oleh kerana itu, bersungguh-sungguhlah dalam berdoa, agar Dia memberikan kehidupan kepada hatimu, membuka dadamu dengan iman &melimpahkan keyakinan kepadamu sebagai anugerah serta nikmat dariNya. Berdoalah di waktu-waktu mustajab &waktu sahur kerana doa pada watu sahur adalah ibarat anak panah yang meluncur tidak terhenti sehingga sampa ike Arasy. Saya tidak meragui keikhlasanmu dalam mencapai tujuan & kejujuran dalam pengakuanmu.
Allah swtberfirman; “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa.”(Al-Maidah : 27)
Saudaramu, Hassan Al-Banna.

Tuesday, October 25, 2011

Diri Kita yang Mesti Diubah












إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11)
Ketikamana Allah SWT menurunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW, lalu baginda membacakannya kepada kaum Arab pada waktu itu, al-Quran memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap jiwa mereka dan menguasai sepenuh hati mereka, dengan itu Allah mengubah diri mereka menjadi peribadi-peribadi yang sangat berbeza keadaan mereka selepas memeluk Islam jika dibandingkan dengan keadaan mereka semasa jahiliyah.
Sebagaimana al-Quran memberi kesan kepada hati orang-orang mukmin, demikian jugalah ia memberi kesan kepada hati para musyrikin. Akan tetapi kesan al-Quran pada jiwa orang musyrikin adalah kesan yang sementara dan bersifat negatif. Kesan yang menyebabkan mereka menjauhkan diri mereka daripadanya sambil berkata sesama mereka:
وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ
“Janganlah kamu mendengar (bacaan) al-Quran ini dan rekalah kata-kata bathil serta palsu sekitarnya, moga-moga kamu dapat mengalahkan (mereka).” (Fussilat: 26)
Adapun bagi orang-orang beriman:
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ
“(Iaitu) mereka yang mendengar perkataan lalu mengikut yang terbaik di antaranya. Merekalah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan merekalah orang-orang yang berakal.” (Az-Zumar: 18)
Justeru, kesan al-Quran terhadap mereka adalah kesan yang positif pada setiap masa, ia mengubah diri mereka daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain, serta mendorong diri mereka untuk berhias dengan akhlak-akhlak yang mulia lagi terpuji.
اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُّتَشَابِهًا مَّثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ
“Allah telah menurunkan sebaik-baik kalam iaitu al-Quran yang serupa (ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit-kulit orang-orang yang takutkan Tuhan mereka kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka ketika mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan Kitab itu Dia memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki.” (Az-Zumar: 23)
Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama merenung kembali hubungan kita dengan al-Quran yang mulia. Adakah terkesan jiwa kita bilamana mendengar ayat-ayatnya yang suci? Sejauh manakah ia mampu membentuk akhlak dan peribadi kita? Dan adakah ia terkesan di dalam hati kita seperti mana terkesannya hati-hati para salaf dengannya?
Tidak wahai saudara-saudaraku! Sungguh, kita hanya semata-mata membaca al-Quran, hanya mengulang-ulang kalimat-kalimatnya dan melagu-lagukan bacaannya, namun limpahan al-Quran dan penghayatannya tidak pula menjadi kepentingan bagi kita sebagaimana para salafussoleh terdahulu yang begitu terkesan dengan al-Quran apabila mendengar ayat-ayatnya dibacakan.
Justeru, marilah kita mengikuti jejak langkah para salafussoleh. Apa yang kita sama-sama inginkan adalah supaya umat al-Quran dan negara Al-Quran kembali tertegak menyinari alam yang sedang berada di dalam kegelapan .
Realitinya, sesungguhnya kita pada hari ini begitu jauh dengan penghayatan al-Quran yang sebenarnya. Bahkan kita pada hari ini begitu mengutamakan dunia dan mencintainya dengan sepenuh hati kita. Tidakkah kita pernah memerhatikan firman Allah SWT maksudnya:
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah, sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, dan rumah-rumah yang kamu sukai lebih kamu cintai daripada Allah, rasul-Nya, dan jihad di jalan-Nya maka tunggulah sehingga Allah memberikan keputusan-Nya, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (At-Taubah: 24)
Sahabat yang dikasihi,
Kita seringkali melihat kepada sebab-sebab dan menganggapnya punca segala sesuatu sehingga kadang-kadang kita terlupa untuk mengambil kira adanya di sana kehendak Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa, serta pertolongannya bagi wali-wali-Nya tanpa disangka-sangka. Allah berfirman yang bermaksud:
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka Allah akan jadikan jalan keluar baginya dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah maka Allah akan mencukupkan (keperluannya).” (At-Tolaq: 2-3)
Justeru, mari kita sama-sama mengubah jiwa kita berpandukan wahyu Tuhan ini, lalu kita akan menjadi lebih yakin dengan apa yang berada di tangan Allah daripada apa yang berada di tangan kita sendiri.
Sebahagian daripada kita sangat mudah untuk marah hanya disebabkan perkara yang kecil dan remeh, lalu kita memutuskan hubungan, saling bermasam muka dan sebagainya samada disebabkan oleh perkara yang munasabah ataupun tidak, sedangkan Allah SWT berfirman yang bermaksud:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah SWT dan janganlah kamu berpecah belah.” (Ali Imran: 103)
Demikian juga firman-Nya dalam ayat yang lain yang bermaksud:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ 
“Hanyasanya orang-orang yang beriman itu bersaudara.” (Al-Hujurat:10)
FirmanNya lagi yang bermaksud:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ 
“Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong sebahagian yang lain.” (At-Taubah: 71)
Justeru, adakah kita terkesan dengan firman-firman Allah ini? Lalu kita melupakan kebencian dan kedengkian di antara kita serta cuba untuk menyucikan hati dan perasaan sehingga kita mampu bersatu di atas kalimah Allah dan menjadi saudara kerana Allah semata-mata?
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ
“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitulah) mereka yang kusyuk dalam solatnya, meninggalkan perkara-perkara sia-sia, mengeluarkan zakat, menjaga kemaluan, kecuali kepada isteri-isteri atau hamba-hamba mereka maka mereka tidaklah tercela.” (Al-Mukminun: 1-6)
Di manakah kita daripada sifat-sifat mulia tersebut? Khusyuk dan menjaga solat, meninggalkan perkara yang sia-sia dalam perkataan dan perbuatan, kerana setiap perkara samada yang kecil ataupun besar dicatat oleh Allah. Begitu juga dengan mengeluarkan zakat fitrah, zakat harta sebagai melaksanakan tanggungjawab, menyucikan harta, mengelakkan fitnah, dan berbakti kepada orang-orang fakir dan miskin. Serta menjaga kemaluan daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah dan menjaga apa yang berkaitan dengannya samada mata, telinga, mulut, hidung, tangan dan kaki.
Di manakah kita sekarang daripada sifat-sifat yang digambarkan dalam al-Quran perihal mukminin yang sejati dan para salafussoleh lalu mereka menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi umat manusia?
Inilah sebahagian contoh ajaran-ajaran al-Quran yang telah membentuk akhlak mereka sehingga menjadi sinaran cahaya bagi manusia seluruhnya, dan yang telah memberi petunjuk kepada mereka ke jalan yang benar. Justeru adakah kita berazam untuk mengubah diri kita ke arah yang lebih baik? Dengan itu akan berubahlah kehidupan kita, Insya-Allah.
Ya Allah, perkenankanlah harapan dan permintaan kami, amin!

Dipetik daripada:

Monday, October 24, 2011

Di sana ada harapan…


Jumlah umat Islam kini semakin berkembang menjangkaui 1.7 billion daripada keseluruhan penduduk dunia yang telah pun melebihi 6.5 billion. Namun rata-ratanya kelihatan bahawa umat ini terus terceruk di tangga terbawah akibat diliputi pelbagai permasalahan dalaman dan luaran.
Kisah malang ini berpanjangan apabila hanya sedikit di kalangan umat yang ramai ini menginsafi realiti yang ada dan bersedia untuk turun padang bagi mengerah keringat dan menggugah kepayahan bagi membina sejarah yang baru.
Namun harus kita ingatkan kembali rentetan sejarah kegemilangan yang telah dicipta oleh generasi hebat yang terdahulu yang menyaksikan bahawa kelompok yang sedikit kerap kali mencipta kemenangan setelah melalui siri-siri ujian dan cubaan.
Sejumlah hanya 3 orang atau 5 atau 7 orang pemuda Ashabul Kahfi yang berjuang sekian lamanya mendepani sistem kemasyarakatan dan pemerintahan yang tagha pada ketika itu akhirnya dizahirkan kemenangan hanya setelah mereka dibangkitkan 300 atau 309 tahun kemudiannya.
Di kala Badar al-Kubra, sejarah gemilang menyaksikan segerombolan 313 orang generasi bertaqwa yang tidak mempunyai kelengkapan yang hebat akhirnya berjaya menumbangkan lebih 1000 orang bala tentera kuffar yang didokongi oleh sistem yang canggih pada ketika itu.
Di pertembungan Hittin, sejarah dunia menyaksikan bagaimana 12,000 orang generasi yang telah dididik dengan al-Quran berjaya mendepani kekuatan lebih daripada 60,000 orang bala tentera Salib yang telah dikumpulkan daripada 22 buah negara Eropah.
Puluhan, ratusan dan mungkin ribuan lagi kisah-kisah yang telah dilakarkan oleh generasi sebelumnya bahawa kemenangan umat itu bukan terletak kepada jumlahnya yang ramai tetapi adalah kepada kelompok pendokong yang mendasarkan kekuatan perjuangannya kepada :
Iman dan ukhuwah adalah kunci kemenangan
1-Kekuatan ‘aqidah
2-Kekuatan ukhuwah (persaudaraan sesama Muslim)
3-Kekuatan as-Silaah (persiapan dan kesiap-sagaan ketenteraan)
4-Kekuatan pendokong dan penglibatan umat yang bersamanya
5-Kekuatan berjuang di atas panji Allah yang satu
Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. yang telah berkata, “Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud, “Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehingga tiba suatu saat yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka sentiasa berjaya”. (H.R. Bukhari)
Saudaraku…
Teruskanlah perjuangan kerana target utama perjuangan ini adalah untuk membina cinta Ilahi di dalam diri kita sendiri dan juga di kalangan manusia serta alam sejagat.
Mendamba cinta Ilahi
Walaupun kalian mungkin bersendirian di pedalaman Sabah, di perkampungan hulu Sarawak, di kalangan penduduk tersisih, di menara gading terpilih, di kalangan rakyat marhein atau di mana jua anda berada… teruskanlah perjuangan mulia ini demi mendamba cinta dan redha Ilahi.
DIPETIK DARIPADA:
Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
ISMA Cawangan Seremban

Blog: Peduli Ummah