Sunday, May 1, 2011

Tazkirah Mingguan: Ukhuwwah

Ke Arah Manakah Hiburan Masa Kini.

اليوم أكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتي ورضيت لكم الإسلام دينا

Maksudnya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.(Surah al-Maidah:3)

Islam merupakan agama yang cukup sempurna merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Ini bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah al-Maidah  ayat ke 3 yang sebagaimana ayat nya berada di atas.

Bagi menjamin kesejahteraan hidup ini , Islam telah memberikan pelbagai garis panduan untuk dilaksanakan oleh setiap individu muslim, termasuklah dalam aspek hiburan. Secara umumnya hiburan mempunyai skop yang amat luas sama ada berbentuk permainan, percakapan, lakonan mahupun nyanyian. Namun apabila kita melihat fenomena hiburan yang melanda masyarakat hari ini, kita dapati sebahagian masyarakat lebih cenderung kepada hiburan yang berbentuk nyanyian dan juga lakonan.

HIBURAN ITU INDAH
Berhibur tiada salahnya kerna hiburan itu ialah suatu seni yang indah. Ini diakui sendiri oleh Rasulullah SAW sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadis daripada Ibnu Mas’ud r.a :
“Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan.” (Riwayat Muslim)

Di dalam sebuah hadis yang lain diriwayatkan bahawa Saidatina ‘Aisyah r.a. pernah membawa seorang pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki dari kaum Ansar, maka Nabi SAW bertanya:
“Wahai ‘Aisyah,tidak adakah hiburan pada mereka sebab orang-orang Ansar itu menyukai hiburan?” (Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Hadis ini menunjukkan bahawa secara umumnya, hiburan itu adalah sesuatu yang diharuskan dalam Islam. Namun Islam telah menetapkan bahawa ia mestilah dilakukan secara sederhana dan tidak keterlaluan sehingga melalaikan manusia daripada mengingati Allah SWT. Hal ini,Prof Dr. Yusuf al-Qardhawi telah memberikan beberapa garis panduan yang harus dipelihara ketika berhibur terutamanya hiburan yang berbentuk nyanyian,antaranya :-

1.    Tema atau isi kandungan lagu itu sesuai dengan adab dan ajaran Islam.
2.    Tidak boleh mengalunkan suaranya dengan tujuan membangkitkan rangsangan berahi.
3.    Tidak ada percampuran bebas antara lelaki dan wanita dan sbgainya.
Sekiranya garis panduan tersebut tidak dipatuhi, maka hukum harus pada nyanyian tersebut boleh berubah menjadi syubahah ataupun haram.


HIBURAN YANG BERLEBIH-LEBIHAN
Aktiviti-aktiviti hiburan yang di jalankan pada masa kini kebanyakannya tidak memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan. Bahkan kita dapati kebanyakannya dipenuhi dengan unsur-unsur yang melalaikan seperti terlalu memujakan kecantikan manusia, senikata yang berunsur percintaan yang mengasyikkan, lawak jenaka yang berlebih-lebihan, mendedahkan aurat, gaya tarian yang menggiurkan dan lain-lain lagi. Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa hiburan sebegini begitu mudah mempengaruhi jiwa anak-anak remaja.


Berdasarkan kajian-kajian tersebut, bolehlah dikatakan bahawa masyarakat di tanahair kita, terutamanya golongan remaja amat meminati hiburan seperti ini di samping hiburan lain yang diimport dari luar. Kita telah sedia maklum bahawa kesemua jenis muzik yang disebutkan itu merupakan sumber penyebaran budaya negatif di kalangan masyarakat. Pembawaan muzik ini amat pantas mempengaruhi identiti dan penampilan anak-anak muda. Di antara contoh yang sering berubah mengikut mengikut trend yang dibawa oleh artis-artis yang mereka minati. Ada yang mewarnakan rambut,ada juga kaum lelaki yang bertindik, memakai anting-anting, ada yang memakai seluar londeh, baju T singkat sehingga Nampak pusat dan lain-lain lagi. Kesemua ini dilakukan semata-mata kerana ingin meniru gaya yang dibawakan oleh artis-artis kesayangan mereka.


Seringkali kita lihat didalam konsert-konsert ini, para penonton terutamanya anak-anak muda akan terjerit-jerit apabila seorang artis menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka . Mereka melonjak-lonjak dan menari sesame mereka dalam keadaan yang sukar dikawal. Selain daripada itu ,penampilan buruk sebahagian para artis ini juga sering dijadikan ikutan mereka. Keadaan ini menunjukan betapa identiti meraka sebagai umat Islam sangat tercemar. Pergaulan di kalangan anak-anak muda yang tidak terkawal ini sebenarnya merupakan antara punca berlakunya masalah-masalah sosial yang lebih serius. Antaranya:-
1.    Masalah lari dari rumah.
2.    Masalah zina dan bersekedudukan di kalangan remaja
3.    Masalah anak luar nikah.
4.    Pembuangan bayi dan lain-lain lagi.
Tidak ketinggalan juga ,fenomena ini terdapat di kalangan orang-orang dewasa dan lanjut usia. Ada di kalangan mereka terlibat  dengan hiburan yang melalaikan seperti dangdut dan karaoke.

MENGABDIKAN DIRI KEPADA ALLAH
Dalam suasana lalai sebegini, bagaimanakah mereka mampu menunaikan tuntutan solat yang diwajibkan ke atas mereka yang melalui situasi sebegini. Mereka hanya inginkan keseronokan hidup tanpa memikirkan dosa atau pun pahala. Walhal, sebagai seorang muslim, kita seharusnya sentiasa menyedari hakikat bahawa Allah menciptakan manusia bukan untuk berseronok tetapi yang lebih utama adalah mengabdikan diri kepada Allah SWT di dalam Surah al-Mukminun ayat ke 115:-
23:115
Maksudnya: "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Sebenarnya, dalam Islam hiburan seharusnya dapat memberikan kerehatan kepada manusia setelah penat bekerja seharian. Hiburan juga seharusnya dapat emnghilangkan kerisauan dan kedukaan yang dialami oleh manusia. Seterusnya daoat memberikan ketenangan dan keselesaan kepada mereka untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT. Selain daripada itu, hiburan juga seharusnya dijadikan sebagai salah satu wasilah untuk mendidik generasi muda kearah kebaikan.

Namun realitinya sekarang ini, kebanyakan hiburan yang dipertontonkan sudah menyimpang jauh dari tujuannya yang asal. Ianya lebih bersifat komersial dan mencari keuntungan semata-mata tanpa memikirkan baik buruknya. Oleh itu, hiburan-hiburan yang menyimpang ini mestilah dikawal daripada terus merosakkan akhlak masyarakat kita terutamanya muda-mudi. Manakala rancangan-rancangan yang lebih bermanfaat di media elektronik hendaklah diperbanyakkan seperti rancangan berbentuk ilmiah dan maklumat semasa, yang seharusnya lebih ditonjolkan sebagai alternatif yang baik kepada masyarakat kita. Mudah-mudahan dengan cara ini akan dapat mendidik dan membentuk masyarakat terutamanya generasi muda menjadi insane berguna kepada agama, bangsa, dan Negara.. Wallahu’alam…..
 31:6
Maksudnya: Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.